Bonda Tijah, sengajaku coretkan kenang-kenangan zaman lampau mu di sini, dengan satu tujuan…kami ingin menghargai, memberi penghormatan atas segala pengorbanan mu selama ini terhadap kami. Kami ingin generasi mu benar-benar dapat menyelami, merasai pahit getir mu suatu ketika dahulu bersama ayahanda Tawaf bin haji Palil.
Bonda dilahirkan pada 23 disember 1924 di Bakri. Ayah bernama Hassan Ahmad, dan ibu bernama Markimah binti Abd.Jalil…nenda pernah menetap di kampung Sungai Rambai Sungai Datu sekitar Gersik. Menurut bonda, nenda meninggal di Parit Pulai. Ketika nenda Hassan Ahmad dalam keadaan uzur, bonda Tijah lah yang menjaga makan dan minum serta keperluan yang lain. Malahan sewaktu nenda Hassan menghembuskan nafasnya yang terakhir, bonda Tijahlah yang berada di sisinya. Sementara itu nenda Markimah meninggal di Parit Pulai.
Nenda Markimah mempunyai adik beradik antaranya bernama Mukminah, Keminah dan Marminah. Sementara itu Bonda Tijah mempunyai adik beradik antaranya bernama Mutiah, Ahmad, Rahmat, Peah, serta Tumin.
Jodoh dan takdir datang tanpa dirancang. Sewaktu bonda Tijah mencapai usia 16 tahun, telah datang rombongan merisik bonda. Waktu itu pakcik Dolah iaitu suami kepada Mukminah (juga dikenali bibik bedah) memang berkawan rapat dengan haji Sidek. Haji Sidek, suami wak Empon merupakan abang ipar ayahnda Tawaf. Mungkin secara kebetulan juga haji Sidek mempunyai pertalian saudara dengan paman Dolah.
Melalui usaha haji Sidek dan wak Dolah lah, mereka berdua cuba menjodohkan bonda Tijah dengan ayahnda Tawaf. Apabila kata setuju telah dicapai, pada masa yang telah ditetapkan, bonda dan ayahanda melangsungkan pernikahan di Sungai Rambai.
Setelah sah sebagai suami isteri bonda dan ayahnda menetap di Serom 4, dan mendirikan rumah di sekitar rumah haji Sungip, yang juga merupakan adik ayahnda. Adik beradik ayahnda antaranya wak Empon, wak Jinah, haji Sungip, hjh Siti, hjh Jumi, wak Ismail.. Keseluruhan saudara kandung serta ipar allahyarham ayahanda Tawaf, telah kembali kepada yang Penciptanya. bonda Tijah hanya satu-satunya yang masih tinggal.
Nenda haji Palil dan isteri nenda Sarenah menetap di Sungai Leban, dan merupakan antara orang yang disegani di situ. Memiliki kediaman rumah agam yang sempurna. Nenda haji Palil, juga memiliki seorang lagi isteri iaitu embah Muti. Dari perkahwinan nenda haji Palil dan embah Muti, kedua-duanya mempunyai anak bernama bibik Biah, bibik Peah, paman Ahmad, bibik Embam juga paman Sarif. Sementara itu, adik-adik allahyarham ayahnda yang masih ada ialah bibik Biah, bik Peah (kedua2nya tinggal bersama di tangkak), paman Ahmad (Semenyih) dan paman Sarif (Melaka).

Waktu zaman penjajahan dahulu, paman Aman, Tumin dan Mutiah telah mengikut kak Peah dan suaminya wak Sareh ke Bengkalis, Indonesia. Berhijrah untuk mencari rezeki di sana. Hanya bonda Tijah yang tidak mengikut jejak mereka.
Setelah berkahwin dan menetap di Serom 4, bonda tinggal bersama-sama nenda. Malahan sehinggalah nenda haji Palil dan nenda Sarenah meninggal, bonda Tijahlah yang menghadapnya sehingga nafas terakhir nenda.
Di serom 4, bonda Tijah dan ayahnda Tawaf telah dikurniakan 5 orang cahayamata, antaranya Sandari, Ahmad, Boniah, Misran dan Muhamad (tak dapat dipastikan nama sebenar). Ayahnda Tawaf serta beberapa orang teman telah meneroka tanah di Sengkang. Berulang alik dengan kereta lembu. Walaupun dalam perjalanan selain diancam dengan binatang buas, ancaman dari tentera penjajah serta komunis juga tidak kurang hebatnya.
Setelah keadaan agak reda dan tenteram, barulah ayahnda berhijrah ke Sengkang dengan membawa bonda serta anak-anak yang sudah agak besar.
Di Sengkang, bonda dan ayahnda telah dikurniakan cahayamata iaitu Saeimah, Samad, Mohd. Rabu, Kamisah, Mahat dan Mohd. Isnin…(sepanjang aku mula mengingati sesuatu, aku cuma dapat mengenali rupa paras; almarhum kanda Boniah, kanda Misran, kanda Saeimah, kanda Samad, dan kanda Kamisah…sementara yang lain-lainnya meninggal dunia semasa masih kecil).
Aku tak dapat memastikan ejaan sebenar nama-nama sebahagian beberapa orang yang telah ku sebutkan diatas…..insyaallah, catatan ini akan ku kemaskinikan dari masa ke semasa apabila aku dapat mengumpulkan beberapa maklumat dari saudaramara yang berkaitan. Aku terkilan kerana tidak dapat merisik cerita dari almarhum ayahnda, mujurlah bonda diberi allah, anugerah kekuatan ingatan yang masih baik untuk menceritakan kepadaku tanpa jemu-jemu…..aku kembali sebak…untuk meneruskan catatan ini…

MALAM INI, PENGHULU SEGALA HARI, MARILAH KITA MENSEDEKAHKAN KEPADA SELURUH AHLI KELUARGA KITA YANG TELAH MENINGGAL, DENGAN DOA MOGA ALLAH MENERIMA SEGALA AMALAN DAN DITEMPATKAN DI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG SOLEH....AL-FATIHAH..
Alhamdulillah.. tp nenek tijah penah citer pasal kuarganya... sbb org suke tnya n nenek suke citer.. tp dah lupa....
ReplyDelete