
setelah tujuh tahun tidak bertanya khabar, apatah lagi bertemu pandang, pagi itu aku terus memaksa rakanku untuk membelok ke kampung laksamana. berhenti di hadapan pintu pagar, hati tetap mengatakan aku akan tetap juga bertemu dengan salah seorang ahli keluarganya. ini kerana aku tidak nampak kelibat kenderaannya di luar atau hampir dengan pintu pagar rumahnya.
salam bersahut, nor, isterinya muncul. "pakcik ya..." aku mengiyakan. mungkin dia juga bimbang kalau-kalau yang hadir orang yang tidak diperlukan. takdir aku kerap datang ke teratak shahrudin, mungkin aku segera meminta diri ketika itu, memandangkan shahrudin tiada di rumah.
nor tetap ramah seperti biasa. rancak perbualannya tetap seperti dahulu. shahrudin ke sri gombak katanya melihat mesin untuk dirinya. banyak rupanya yang tidak ku ketahui dari anak sepupuku, dari berlainan nenek. (datok ku hebat, juga datok sebelah bapa ku)
nor menceritakan perihal banjir yang kerap bertandang di halaman rumahnya, dan bertamu pulak ke ruang dalam. hampir 15 tahun menetap di situ, bilangan banjir telah melepasi angka 15 kali melanda di situ. tidak hairanlah shahrudin dan nor berhasrat untuk menjual rumah tersebut.
dan isteri shahrudin memberitahu, shahrudin sekarang ini gigih berkarya di blog. menyedari itu, aku menitipkan add untuk blogku, kalau-kalau dia sudi menjenguk. shahrudin memang ku akur, seorang amat gigih menyusuri salsilah keluarga sejak pertama kali aku mengenalinya.

selain itu kunjunganku juga sebenarnya untuk menyampaikan takziah atas berpulangnya almarhum sharif, bapa shahrudin, yang mana aku cuma dapat menghidu berita tersebut melalui paman aman.
shahrudin pernah bertandang ke rumah ku tidak kurang dari emat kali. dan di antaranya pada suatu malam membawa rombongan dari parit sulong. bersamanya almarhum sharif, yamah serta anak cucunyanya. waktu itu (sebenarnya shahrudin yang mengingatkanku) sekitar tahun 2003. aku tidak ingat apakah juadah yang telah ku hidangkan sebagai tanda bukti nanti mereka pernah memanaskan lantai rumahku. setidaknya, air suam pasti terhidang malam itu.
dan shahrudin serta isteri juga pernah ke rumahku atas urusan persekolahan anak mereka, untuk menempatkan persekolahan anak di darul ehsan. malangnya jawapan dari ppd gombak, mendukacitakan. setidak-tidaknya, anak-anak shahrudin yang gagal untuk belajar di sekolah yang dipilih, sekarang ini sudah pun berjaya. tentu berkat tak sekolah di situ...

sehingga ketika ini, aku masih gagal untuk membalik-balikkan ingatan dari kotak diari ingatanku. siapakah yang membawa aku bermalam di rumah wak satinah di yong peng ketika zaman kanak-kanakku. rumah di mana ruang dapurnya direntasi sebatang sungai yang jernih amat airnya. damai tenang, sambil masak dan menikmati hidangan di situ.
yang aku tahu ketika itu hanya wak satinah, yamah dan jufri. nama-nama itu memang dari dulu melekat di benakku sebagai ahli keluargaku juga. bila meningkat dewasa barulah aku tahu siapakah mereka sebenarnya. aku tetap bersyukur, kerana walaupun dari nenek yang berbeza, namun ikatan kekeluargaan itu tetap kukuh. sekaligus menangkis ungkapan yang selalu menjadi fobia kepada semua orang iaitu MAK TIRI. benar kata shahrudin, ranting yang unik dan menarik!

kami pun berteguh janji, untuk bertemu setelah asyik bersilang sistem pesanan ringkas (SMS) malam sabtu, tepat 8.30 malam shahrudin sudah memanaskan bangku pak tam. dan aku sendiri tak mahu terlewat, juga sampai jam 8.30, bezanya aku masih di kenderaan. dan bila menyedari aku keluar dari kenderaan, dalam gelap malam shahrudin melambaiku. pengalamanku, jujur ku katakan, shahrudin bukanlah seorang yang memperlihatkan 'siapa dirinya'. aku mulai tahu, didikkannya pun setelah membaca catatannya di blog. kedudukkannya suatu ketika dahulu; dia masih boleh duduk sama rendah..
aku terkedua, bila keinginanku untuk fremkan, catatan family tree yang diusungnya dahulu, rupanya telah menjadi mangsa banjir...minat, hobi yang sama memungkinkan kami akan jadi serasi, insyaallah. aku pernah menyimpan tiket bas, samaada bas mini ataupun srijaya sejak menjadi penghuni kl. sekotak lebih, bila fikirkan untuk apa sebenarnya ku simpan, akhirnya aku lupuskan sahaja. dan sekarang masih ku simpan, keratan akhbar karya-karyaku, surat/kad undangan dari pelbagai individu/institusi juga buku-buku cenderamata. semua itu hanya menjadikan bilikku yang sebuah itu tidak dapat digunakan untuk tidur atau sebagainya.
malam itu shahrudin dan aku terasa masa terlalu singkat benar, sedangkan cerita terlalu banyak yang disingkatkan. kejayaan shahrudin memiliki tanah 7 ekar di dengkil, memang hebat! bercerita, juga bagaimana paman aman nampak rapat dengan keluarga wak satinah, memang aku akui dari dulu pun. malah shahrudin pernah menceritakan semula bahawa paman aman, yamah serta beberapa lagi pernah tidur serumah di yong peng.
insyaallah aku dan shahrudin bila diberi kelapangan, akan cuba untuk menyusuri dan mengambil data keluarga. aku menyarankan agar rumpun keluarga ini dibukukan, insyaallah bila ada rezeki, aku sanggup untuk membiayai mana yang termampu. tidak mustahil, pertemuan keluarga akan menjadi impian. benar kata shahrudin, dia memang jujur dalam catatannya, walaupun terpaksa menyinggung hati saudaramara. tujuan shahrudin cuma satu, biar yang negatif menjadi pengajaran untuk yang terbaik.
aku mengiyakan secara ikhlas. kerana kejujuran dan keikhlasan itu terlalu amat tersembunyi...dan kasih sayang itu sebenarnya terlalu tulus...percayalah, rumpun keluarga ini sebenarnya tidak terpisah, tidak pernah berpecah...kita cuma dibatasi keadaan. kerana ini di antara seluruh keluarga kita tidak ada pun biduk yang berlalu. selama ini kita tenang damai dan kita tetap kiambang yang sentiasa berpaut...dan nilai rm5.00 malam itu sebenarnya terlalu murah untuk kita bayar makna talian darah kekeluargaan kita...darah dari almarhum nenda hassan ahmad....
#terimakasih shahrudin, telah ku kutip gambar2 dari blognya. keterangan gambar dari atas 1-nyai minah (wak satinah) dan suami,nyai asmat....2- wak satinah ketika kampung nakhoda sekitar 80an.....3-paman aman memangku anak khair..18/7/10....4-kedatangan pertama kali almarhum sharif dan yamah, ke rumahku pada 30/12/03.
No comments:
Post a Comment