
bila sudah terlalu lama mengkesampingkan sesuatu yang telah sebati dengan hati, walaupun ia sentiasa subur disebalik hambatan waktu, sesekali ia tetap datang, membisik, malah ada ketika mendesak agar aku tidak lagi menunda-nunda...sehingga mencuri waktu yang panjang untuk menyempurnakannya. benar aku terlalu lama tidak menulis. kecuali mencipta untuk tugasan kerja, sepotong ayat, dan tentu tidak lebih dari empat muka. barangkali bunyinya agak janggal, tetapi itulah hakikat. bila umo makin muda, susah lak nak berkarya, walaupun idea macam air terjun..
bagaimanapun, bila nak berkarya, aku kerap membalik-balik karya-karya yang tidak lebih sekadar penghias rak buku, konon nak amik berkat. akhirnya novel-novel lama yang dipungah sekali lagi ianya berpindah sementara, menjadi penghuni kotak, yang kemudiannya akan dikeluarkan kembali untuk disusun. begitulah! susun kemas pungah, pungah kemas susun. tak juga menulis.
tapi kali ini tergerak pulak hati aku hendak titipkan di sini, dari petikkan novel PRINCESS, yang merupakan karya terakhirku 1994...
lis, aku tak tahu apakah bahasa yang kugunakan ini masih lagi sesuai untukmu pada saat ini ataupun tidak, aku tak pasti. banyak waktu yang kuambil sekadar untuk membuat keputusan sebelum mengutusimu, dan aku kira saat ini adalah saat yang paling sesuai. aku juga tidak pasti apakah kedatangan warkah ini tepat pada waktunya atau pun tidak, tetapi yang penting aku masih sempat mengucapkan selamat ulangtahun kelahiranmu. tidak ada cenderahati yang lebih istimewa lagi buatmu, selain daripada warkah ini. mengingati disember ini, aku menjadi takut, kalau-kalau kau tidak lagi seperti dulu walaupun hakikatnya kau memang sudah berubah.
lis, aku tidak tahu apakah ucapan yang ingin kau katakan lewat hari terakhirmu di sekolah dahulu, setelah kau mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke kolej. hari terakhir kau kalut mencariku. sengaja aku tidak hadir ke sekolah. aku tidak tahu perasaanku sendiri tatkala itu. dan setelah beberapa tahun ini baru aku kuatkan hatiku sendiri untuk menghubungimu. janganlah kau tanya dari mana kudapatkan alamatmu. aku harap kau juga telah kuat sekarang. kau bukan lagi gadis yang kuat merajuk dan menangis. ah, itu dulu lis..
lis, saat ini apakah yang lebih indah selain daripada mengingati kenangan. betapa sukarnya kita mencipta pertemuan, begitu jugalah payahnya aku melupakan kenangan. sesukar manapun menghadapi perpisahan itu, ia akan tetap datang dan berlalu. seperti mendung pagi, lambat laun ia akan tetap sirna.

lis, selama ini aku sebenarnya menikmati keindahan senja yang amat lembut berwarna lembayung dan saat itu aku seakan berbicara meminta maaf kerana tidak diberi kesempatan untuk mencintainya. lalu aku simpulkan bahawa kita sama-sama dipertemukan tetapi tidak untuk bersama. aneh. aku berasa amat aneh bahawa selama ini aku hanya mengenali kepalsuan, rumit hidup ini lis...
lis, aku sendiri tidak tahu untuk apa aku mengutusimu, tetapi yang pasti saat ini aku begitu mengingatimu. mengingati oktober yang manis. mengingati princess yang pernah mengusik hatiku. hari lahir terakhirmu merupakan batu tanda perpisahan kita. kalau kau kecewa dengan perpisahan kita, sesungguhnya kau tidak menderita lis, kerana faris adalah doktor hatimu...
kau tetap princess hatiku. tetapi mampukah aku lari untuk melupakanmu. aku dapat menutup kelopak mataku untuk tidak melihatmu, tetapi percayalah aku pasti tidak dapat memejamkan mata hatiku untuk terus melupakanmu..
haaaa. emo pulak. princess setelah hampir setahun di pasaran aku mendapat surat dari utara. pengirimnya memberitahu aku, dia telah menceduk surat dari petikan novel ku itu, lalu dikirimkannya kepada seseorang yang amat disayanginya. seseorang yang telah meninggalkannya. aku membalas suratnya menyatakan, aku mengizinkannya asalkan dia bahagia.

aku sendiri tak tahu dimana istimewanya tulisanku itu sehingga menarik perhatian pengirim dari utara. setahun dari peristiwa itu, pengirim itu mengutus kembali kepadaku, menyatakan bulan hadapan dia akan melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hatinya itu. dia mengucapkan terima kasih. menurutnya, kekasih hatinya itu memuji kerana bahasa yang digunakan pada suratnya itu begitu mencuit hati menyebabkan kekasihnya kembali semula padanya.
aku sekadar tersenyum...tak pastilah apakah si pengirim itu berterus terang atau tidak bahawa surat yang dikirim untuk kekasihnya itu, adalah tulisanku...lantakkau lah, setidak2nya aku dah jadi orang tengah menjernihkan hubungan mereka. mudah-mudahan dah berderet-deret anak-anak mereka berdua tu.
lama tak menulis, bila tersangkut kat blog, terasa timbul kembali keinginan untuk berkarya...tapi rasanya tak kot! bila baca sesekali apa yang telah aku tulis di blog ini, kelakar pun ada. tunggang langgang! percaya tak, ada juga yang cakap atau komen janganlah tulis sedih-sedih. dan ada juga yang cakap baca blog aku, dah macam baca buku sejarah...

*keterangan gambar kulit novel dari atas, antara novel yang menggunakan nama sendiri, diikuti novel sulung yang terbit, kemudian novel-novel yang menggunakan nama pena, dan dibawah sekali novel karya terakhir sebelum simpan pen.
HAKIKATNYA, ADAKALANYA AIR MATA YANG MAHAL ITU MENJADI TERLALU MURAH BAGI SEORANG PEREMPUAN. ANDAINYA INI TERJADI, PILIHLAH YANG TERMAHAL DI ANTARA YANG GUGUR; YANG TAK MAMPU DIBENDUNG. MENGINGATI KENANGAN TENTU LEBIH PAHIT DARI MENCIPTANYA. KERANA ITU AKU TIDAK SESEKALI MENYALAHKAN PERPISAHAN; TETAPI PERTEMUAN...
No comments:
Post a Comment