Apakah kita pernah terfikir, betapa mudahnya ketika ini untuk menjejak dan menjenguk antara seorang ahli keluarga kepada seorang ahli keluarga yang lain? 30 atau 40 tahun dahulu, sukar kita bayangkan tempoh perjalanan yang memakan masa seharian untuk sampai ke destinasi tertentu hanya sekadar bertanya khabar saudara mara. Ternyata kini semua itu telah dapat disingkatkan tidak sampai 5 saat.
Seharian perjalanan yang memerlukan belanja hampir rm70 atau rm80, tentu amat membebankan untuk kerap mengulangi menemui keluarga yang rata-ratanya berada jauh. Ada ketikanya untuk bertandang setahun sekali, sempena menyambut hari raya, tentu membebankan dan menyukarkan bagi mereka yang mempunyai banyak tanggungjawab.
Kita tidak perlu menyalahkan sesiapa dalam hal tersebut. Apa yang lebih penting adalah ingatan dan doa dari jauh, yang lebih ikhlas dan tulus. Bertanya khabar sekadar melalui telefon, atau melayangkan sepucuk dua warkah, itu pun sudah memadai.
Ada masanya kita perlu menginsafi, merenung dan mengenang kembali, usul asal kita sehingga kita berada di kedudukkan seperti sekarang. Harta dan pangkat kedudukkan seseorang tidak akan diukur untuk menilai budi nurani seseorang. Ketulusan seseorang menghargai, menghormati, menyanjung seadanya, mendahulukan yang lebih tua, adalah nilai luhur hati seseorang yang tidak mungkin akan terbayar dengan apa sahaja.
Kita cuma perlu tahu bahawa asal ayah bonda kita pernah lahir di rumah papan. Membasah tekak dari air perigi. Berjelaga dari pelita minyak tanah untuk menerangi malam. Darah kita dari titik peluh ayah bonda yang sama, walaupun bukan dari pohon getah yang dahulu, seperti gambar yang disertakan, tetapi pohon getah itu tidak pernah bertukar nama. Dari generasi ke generasi, namanya tetap sama pokok getah. Hasil darinyalah kita dapat menghirup bumi allah sehingga kini.
Amat menyentuh hati, menghiris perasaan, bila suatu ketika ada sesetengah ahli keluarga pernah duduk sebumbung, namun pada waktu tertentu terpisah jauh. Terpisah yang sukar untuk dijejaki. Sama ada merantau mencari rezeki, atau menjauh hanya kerana merajuk hati. Berdosakan dan rendahkah nilai martabat seseorang hamba allah, yang sanggup menghulur tangan berjabat erat, sambil bibir meluah sepotong bicara MAAFKAN JIKA ADA SEBARANG KESILAPAN, sedangkan yang memohon maaf tidak melakukan sebarang kesalahan? Di hatinya hanya inginkan perhubungan persaudaraan tidak merenggang dan terputus begitu sahaja, hanya kerana kesalahan yang terlalu remeh.
Selalulah saling mengingatkan, andai ada terusik hati, janganlah terlalu mengambil masa yang agak lama untuk menyimpannya. Cukuplah sekadar dua tiga hari, dan hari berikut cubalah menjernihkan semula hati yang keruh. Kita tidak akan berasa rugi, tidak juga memperolehi keuntungan sekiranya kita menilai kembali diri, dan tahu siapa diri kita sebenarnya.
Dan ketika ini, setelah segalanya berubah maka amat mudah untuk kita mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan, apakah alasan kita untuk tidak bertanya khabar sesama kita. Apakah nilai kekeluaragan itu tidak lagi terlalu penting, apabila kita sering mengejar waktu. Mengejar dunia yang tidak pernah memberi kepuasan selagi nafsu menguasai diri.
Pepatah; air dicincang tidakkan putus, memang tidak ada sesiapapun yang mampu menidakkan ungkapan tersebut. Apa salahnya antara sesama kita, saling hidup seperti aur dengan tebing. Harmoni, bersepakat, saling meluah perasaan, sekiranya sedang berhadapan masalah, tidak malu-malu untuk berkongsi duka. Sama-sama mengecapi kegembiraan sekiranya ahli keluarga yang lain beroleh kejayaan. Meringankan beban yang sedang menghadapi masalah, tentu lebih mulia dari kita mendabik dada menyanjung kekayaan dan kejayaan sendiri, tanpa merasai sengsara orang lain.
Dan apakah kita perlu beralasan lagi untuk tidak bertanya khabar antara sesama kita, setelah segalanya terlalu mudah dan singkat. Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, berapa kalikah kita mengunjungi ibubapa kita, adik beradik kita, sepupu-sepupu kita, ipar duai kita, anak-anak saudara, bapa saudara, ibu saudara kita; mengunjungi mereka dalam masa sebulan. Atau pernahkah terfikir bilakah kali terakhir kita menghubungi melalui telefon antara sesama kita. Seminggu yang lalu? Atau sebulan yang lalu? Atau setahun yang lalu? Pernahkah kita bertanya, sudah berapa lama kita tidak menghubungi si A, atau si B atau si C?
Malah, apakah kita hanya mengabaikan sahaja kiriman sms tanpa membalas, bila ada saudara mara kita bertanya khabar? Apakah kita mengambil masa yang terlalu lama untuk membalas, walau sekadar terima kasih? Atau kita mendiamkan diri sahaja, walau saudara mara kita masih tetap menghantar sms berkali-kali.
Renungkanlah dengan berlapang dada, berapakah nilai sebuah persaudaraan sesama kita. Jika murah atau mahal berapakah harga yang perlu dibayar untuk sepotong ayat yang terucap APA KHABAR… mungkin kita sering dihambat dengan tanggungjawab yang tidak pernah berehat hampir setiap waktu. Tetapi adakah 5 minit sepanjang 24 jam sehari, kita masih bertangguh untuk mengorbankan 30 atau 70 sen sms, hanya untuk bertanya khabar? Rugikah kita menghabiskan wang sebanyak itu untuk membayar bil telefon, berbanding kita bertandang beratus batu bagi yang kurang berkemampuan?
Apakah yang lebih bermakna, selain dari persaudaraan yang amat indah ini. Segalanya tetap terpamer di hati, bahawa walau beratus ahli keluarga kita, masih jelas terbayang nama setiap orang dari mereka di mata kita. Kita tidak teragak-agak untuk menyebut nama mereka satu persatu. Biarlah orang memandang sinis kepada kita hanya kerana tidak memiliki harta…tetapi kita wajar berbangga kerana kita memiliki generasi dan mewarisi sifat insan yang kaya dengan rasa rendah diri, menghormati dan menghargai orang lain. Tidak pernahkah kita terfikir semua itu?
Kenapa kita harus bertangguh untuk melakukannya, sekiranya kita boleh memulainya dari sekarang….
MAAFKAN AKU KERANA JARANG MENJENGUK DAN BERTANYA KHABAR SAAT KALIAN DILANDA KESUKARAN. MUSTAHIL DAPAT KU SEBUT, DAN TIDAK ADIL RASANYA UNTUK MENGATAKAN NAMA2 ANGGOTA KELUARGA KITA; DIA, DIA, DIA DAN DIA KERAP BERHUBUNG DENGANKU. TAPI TAK SALAH KU KATAKAN; AKU TERHARU DAN SEBAK ATAS KERENDAHAN HATI PAMAN AMAN YANG KERAP MENGHUBUNGI KU, DAN SELURUH KELUARGA PAMAN YANG TAK JEMU-JEMU BERKUNJUNG BERBANDING DIRIKU YANG JAUH LEBIH MUDA DARINYA...
No comments:
Post a Comment