
kakak, aku tak mampu untuk memberikan kakak sesuatu yang lebih berharga sehingga saat ini, kecuali doa ku yang tak putus-putus agar kakak diberi keimanan, kekuatan, kesihatan dan memperolehi anak-anak yang sentiasa memberi pendorong kakak. anak-anak itu adalah anak-anakmu yang soleh. aku yakin mereka sempurna sebagai permata hatimu dari sejak kakak lahirkan sehingga besar dewasa mereka.
walau kakak senyap lembut serta lambat, tetapi dalam diri kakak tetap ada sesuatu yang tersembunyi, yang membuatkan mereka lebih menghormati menghargai kakak sebagi mamanya.
sekitar 1974 kita terpisah, kita tidak lagi sebumbung. kakak mula tidak lagi menikmati air tangan mak. jodoh kakak dengan abang uda (zainudin) memungkinkan kita hanya didekatkan oleh hati, batas pandangan memisahkan kita ketika itu. aku tidak dapat memahami sangat makna perpisahan waktu itu.

cuma aku berasa kehilangan tempat untuk bermanja, berbual bergurau atau mungkin sesekali merajuk dan berselisih faham. aku tidak dapat menyelami hati mak ketika itu. tetapi aku yakin, sewajarnya mak memendam rasa. sedih hati walang bukan kepalang. kakak sudah milik orang.
aku amat pasti, kakak lah yang paling lama berada di sisiku selain mak dan bapak. kalau dulu air tangan kakak membesarkan ku berserta emak, waktu itu tidak lagi.
mungkin kakak masih menyimpan kemas segala kenangan, ingatan-ingatan semasa kita duduk di sisi mak dan bapa. aku tidak pasti sangat, atau mungkin kerana aku belum mengingati apa itu detik waktu, bila kakak membawaku ke pekan, atau menonton wayang di padang sekolah atau balai raya. bapak atau emak tentu sekali tidak membenarkan kakak keluar begitu sahaja tanpa ditemani aku, adiknya. mustahil bapak benarkan kakak sendirian.
aku mengaji dibawah telunjukmu untuk beberapa ketika sebelum berpindah randah kepada guru-guru seperti kak aminah, arwah seni (kasirah) atau pah. dan untuk beberapa ketika kakak juga tidak tinggal dengan kami, bila kakak terpaksa menuntut di madrasah shamsuddin, milik dato' kyai haji shamsudin di parit medan, kundang ulu. sesekali bila aku melintas di kawasan madrasah, aku akan terimbau, seolah-olah kakak masih di sana, menekuni ilmu. seolah-olah masih semalam aku bersama bapak dan mak menjenguk kakak di madrasah tersebut. ahhh kenangan...
kakak, aku tidak pasti apakah aku pernah berterima kasih kepada kakak, bila setiap hujung minggu kakak pulang ke kampung dengan membawakan kepadaku ole-ole dari pekan. beruntungnya aku kerana aku adik bongsu. walaupun kecil pemberianmu itu, tetapi KETIKA INI, ketika aku mengingati hatimu, pemberian itu terlalu amat BESAR DAN TERLALU BERMAKNA...mungkin ALLAH memberikan usia yang sisa-sisa ini bukan sekadar untuk aku lebih mengingatiNYA, tetapi ALLAH ingin aku mengingsapi agar BERTERIMAKASIH kepada KAKAK pada setiap pemberian kakak yang dahulu, yang tak sempat ku ucapkan.

kakak cuma membelikan aku kipas mainan yang menggunakan bateri. amat kecil, sebesar tiga jari sahaja. tetapi sebagai anak-anak biasa seusia ku, aku begitu gembira bukan kepalang. kipas mainan itulah yang aku bawa ke sana sini. walaupun aku tidak dapat gambar di sini rupa bentuknya, tetapi kipas mainan tetap kukuh menjadi tugu karang di mindaku. teguh di sana membuktikan betapa akrab dan bermaknanya hubungan aku dan kakak.
hati menjadi sayu, bila suatu ketika kakak mendapat tawaran untuk bertugas di perlis sebagai salah seorang kakitangan majlis agama di sana. tahun-tahun awal 70'an, mendengar MELAKA pun dah macam ke jepun. tapi MELAKA sekarang ni dah macam umah kakak ke umah kang miskon, gitulah dekatnya!!!!!!!!!!! kerana pelbagai alasan, keluarga terpaksa menolaknya.
untuk beberapa ketika, kakak masih bersama aku, mak dan bapak... dan sekali lagi aku bimbang, bila aku terhidu sesuatu...ahhhh mujurlah tidak. kita tak mampu memaksa takdir untuk hanya mengiyakannya. tapi kalau sala dah ditentukan mendapat driver orang selangor, tak sapa dapat mampu menolaknya. sala apatah lagi, tentu tak nak tolak..(ahhh, lagi-lagi sala, semalam gambo dia menyelit, sekarang nama sala terselit lagi, ni pun takdir juga kan.)
kakak, perpisahan itu adalah suatu yang tetap terjadi, cuma bila kita tidak dapat menentukannya. selepas majlis pernikahan, beberapa hari kemudiannya, kami sekeluarga menghantar kakak ke mempateh lancang pahang. tempat yang tak pernah termimpi aku akan sampai. jodoh kakak dengan abang uda tentu sekali telah diaturkan oleh kang miskon, sepupuku yang telah menetap di sana sekian lama.

dengan menaiki bas, kami selamat sampai ke mempateh. berhenti tidak jauh dari sebatang sungai pahang. kami turun dan menjadi tamu di sebuah rumah kedai papan. gemulah pak mohamad menetap di situ bersama dua orang puteranya iaitu zainudin dan mohd yasin. abang uda lah kini menjadi suami kakak... (ALFATIHAH UNTUK KETIGA-TIGA BERANAK YANG TELAH MENGHADAP PENCIPTANYA, MOGA ALLAH MENEMPATKAN KETIGA-TIGANYA DI SISI ORANG-ORANG YANG BERIMAN...) sewaktu hayatnya ketiga-tiga beranak hidup dalam satu bumbung dalam ikatan kekeluargaan yang begitu akrab sekali. insyaallah, jika diberi kekuatan, aku akan menceritakan kehidupan mereka.
sementara di rumah gemulah pak dolah, kami dijamu dengan hidangan yang enak. rasanya, itulah kali pertama aku, dan kakak merasai masakan negeri pahang. setiap kali aku bertandang ke umah kakak, sering sahaja terlepas peluang untuk mengambil gambar rumah tinggalan pak dolah. rumah bersejarah tersendiri pada aku dan kakak khasnya.
kakak, untuk beberapa ketika kita terpisah. aku tidak berkemampuan untuk menjenguk kakak yang jauh. hanya sesekali aku, emak, bapak atau arwah abang mis berkesempatan ke mempateh..aku merasa juga menjengah kakak waktu kakak dan abang uda berpindah ke beberapa tempat sepereti bersebelahan masjid. sehinggalah kakak menetap di tapah umah sekarang.
kamal dan rofidah dua anak kakak yang bersalin di umah mak di kampung. kedua-duanya memiliki kerakyataan johor.. kecekalan kakak melahir, membesarkan kamal, rofidah, suraya, karim, masitah, salasiah, siti zubaidah, maria rohimah dan syahira telah membuktikan bahawa kakak bukan seorang ibu atau wanita yang lemah. aku tidak beranggapan begitu bila membandingkan aku yang terkial-kial membesar 5 anak-anakku. siapa yang lebih tabah di antara kami? tak siapa mampu menyangkal, kakak memang telah dikurniakan semangat yang cukup ampuh dengan kemampuan yang dimiliki waktu itu.
bila aku memasuki alam pekerjaan, walau tanpa berkenderaan, pernah juga aku sampai ke rumah kakak bersama rakan-rakanku...syukurlah allah mengizinkan aku mengerakkan hati untuk kembali menjenguk kakak dengan kemudahan yang ada. kami tidak lagi terpisah. saat abang uda uzur aku sempat menjengahnya. cuma aku terkilan, tidak siapa memberitahuku sewaktu abang uda di pusat rawatan islam kl. aku cuma tahu, bila abang dah nak balik ke pahang.
cuma aku pernah sempat menziarahi abang uda semasa di wad jalan pahang. kakak menemaninya. melihat kesetiaan kakak yang amat besar, aku yakin begitulah besarnya cinta kasih setia abang uda terhadap kakak dan keluarga. barangkali, abang uda banyak terdidik dari gemulah ayahnya, mohamad. pengorbanan bapa sendirian membesarkan dua anak hingga berjaya.
di tangan kakak lah juga yang telah menguruskan gemulah arwah mohamad dan abang uda hingga di saat akhir. kecekalan kakak dibantu anak-anak yang terlalu mengerti derita duka mama dan abah mereka membuatkan mereka teguh setia di sisi. dan kini kakak dibebani lagi dengan menjaga bonda tijah.
seawal pagi ini untuk pertama kalinya dalam hidupku, aku mengucapkan selamat berulang tahun untuk kakak di gagang telefon. seusai gagang ku letakkan, airmataku menitis...aku kesal dan terkilan kenapa tidak dulu lagi ucapan itu ku luahkan kapada kakak yang kononnya aku sayangi? semakin kuat mengingati kakak, semakin kerap mataku berkaca.....

TAZKIRAH 9 RAMADHAN
Dari Sahl bin Sa'd r.a., katanya, Rasulullah saw., pernah bersabda: "Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka itu menyegerakan berbuka."